Tokoh Sejarah SK Behrang

Thursday, January 1, 2009
DR. BURHANUDDIN AL-HELMY



Amir Burhanuddin bin Ungku Muhammad Nor dilahirkan pada 28 Ogos 1911 di Changkat Tualang, Perak.

Dr Burhanuddin Al-Helmy dilahirkan pada 29 November 1911 Di Kampung Cangkat, di Mukim Kota Bharu, daerah Taiping , Perak, ayahnya Haji Mohammad Noor dan ibunya Syarifah Zahrah bte Habib Osman. Ayahnya berketurunan campuran Minangkabau -Arab dan ibunya berketurunan Arab menjadikan beliau sebagai seorang teristimewa dan berfikiran tajam. Beliau mendapat didikan awal sekolah Melayu di Behrang Ulu.

Beliau juga mendapat pendidikan awal di kelas Al-Quran dan agama. Dia dihantar ke Sekolah Agama Sungai Jambu, Sumatra Barat pada tahun 1924 hingga 1926.

Pada tahun 1926, Burhanuddin Al-Helmy meneruskan pelajarannya di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah. Seterusnya dari situ ke Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang hingga tamat kelas senawi pada tahun 1934.

Burhanuddin Al-Helmy telah mendapat biasiswa seorang hartawan India muslim dari Pulau Pinang untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Aligarh. Di universiti tersebut Burhanuddin Al-Helmy mengambil bidang sastera dan falsafah. Beliau dianugerahkan PhD daripada Universiti Aligarh, India.

Sekembalinya dari pelajarannya di India dan pengembaraannya ke Palestin dan Turki, Burhanuddin Al-Helmy kembali bertugas sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Arab Al-Juned Singapura.

Ketika di Singapura, Burhanuddin Al-Helmy belajar ilmu perubatan homeopati daripada Dr. Rajah dan beliau telah berjaya mendapat ijazah daripada Ismailiyah Medical College, Hyderabad, India.

Dengan kelayakan ini, Burhanuddin Al-Helmy telah membuka sebuah klinik di Johor Bahru dan sebuah lagi klinik di Jalan Picitan, Singapura.


Seorang Aktivis Dakwah dan Politik

Pembabitan awal Burhanuddin Al-Helmy:
· Penerbit majalah Taman Bahagia, Singapura
· Penyunting majalah Kehidupan Dunia Akhirat, Singapura
· Ahli Persatuan Jama’atul Islamiah
· Ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM), 1939
· Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu semasa pendudukan Jepun
· Pemimpin Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), 1945
· Ketua Umum Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), 1945
· Pengerusi PUTERA-AMCJA, 1947
· Ahli Jawatankuasa Perhubungan Bangsa-bangsa Asia, 1947
· Ahli pengasas PEPERMAS, 1947
· Ahli pengasas MATA, 1947
· Ahli pengasas Hizbul Muslimin, 1948
· Wakil Malaya di Persidangan Afro-Asia Bandung, 1955
· Jurucakap Barisan Kebangsaan Melayu, 1955
· Melancarkan penubuhan Parti Rakyat Malaya, 1955


Pengaruh Awal Pemikiran

Semasa belajar di Jambu, Sumatera Barat (1924-1926), Burhanuddin Al-Helmy berada di bawah asuhan Haji Nuruddin, anggota Sarekat islam Indonesia. Di samping itu guru-guru yang mengajar dan mendidik beliau di sana terdiri di kalangan aliran Kaum Muda.
Semasa di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Kepala Batas, Burhanuddin Al-Helmy juga terdedah dengan pemikiran Kaum Muda. Aliran inilah yang telah menyalakan semangat anti-penjajah dan pro-kemerdekaan dalam diri beliau.

Semasa belajar di India pula pada tahun 1928, Burhanuddin Al-Helmy mengikuti pergerakan Mahatma Gandhi serta berkenalan dengan Mohd Ali Jinnah dan Pandit Nehru dan pemimpin-pemimpin kemerdekaan India yang lain.

Selepas tamat pelajarannya di Universiti Aligarh, India Burhanuddin Al-Helmy telah mengembara ke Palestin dan Turki. Beliau mengikuti perkembangan umat Islam di sana.
Ketika di Singapura, Burhanuddin Al-Helmy telah bergiat cergas dalam pergerakan-pergerakan Islam di pulau tersebut. Beliau menerbitkan majalah Taman Bahagia yang bercorak anti-British yang akibatnya dia ditahan oleh pihak British di sana.

Selepas itu, Burhanuddin Al-Helmy terus bergiat pula dengan persatuan Jama’atul Islamiah dan menjadi penyunting majalah Kehidupan Dunia Akhirat.


Ditahan dan Merengkok dalam Penjara

Selepas tamat pelajarannya di India, Burhanuddin Al-Helmy mengembara ke Palestin dan Turki. Semasa di Turki belaiu ditahan kerana terlibat dalam gerakan anti-British di sana.

Ketika di Singapura pada pertengahan 1930an, Burhanuddin Al-Helmy telah menerbitkan majalah Taman Bahagia yang bercorak anti-British. Satu jam selepas edisi pertama majalah ini diterbitkan, beliau ditahan oleh pihak British. Beliau dipenjarakan selama enam bulan.

Terdapat juga catatan yang menyatakan beliau dibebaskan selepas membayar wang ikat jamin sebanyak $1,000.

Pada tahun 1950, Burhanuddin Al-Helmy telah ditahan oleh British akibat Peristiwa Natrah. Dia dituduh terlibat dalam demonstrasi menentang keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang membenarkan Natrah (Maria Hertogh) dipulangkan kepada keluarga asalnya di Belanda.

Dia telah dipenjara selama satu tahun. Namun, terdapat juga catatan yang menyatakan beliau dipenjarakan selama tiga tahun di Singapura ekoran peristiwa tersebut, iaitu dari dari tahun 1950 hingga 1952.

Terdapat catatan yang peristiwa Natrah itu hanya sebagai alasan bagi pihak British menahan Burhanuddin Al-Helmy.

Sebenarnya Burhanuddin Al-Helmy ditahan oleh British kerana semasa Darurat pada 1948, beliau menyeru secara terbuka orang Melayu jangan menyerang kaum gerila Cina yang berjuang melawan British di dalam hutan.

Peristiwa Natrah hanya dijadikan alasan oleh pihak British. British tidak boleh menahan Burhanuddin Al-Helmy yang bergiat masa itu di Singapura kerana pulau tersebut tidak tertakluk kepada undang-undang Darurat yang hanya dikuatkuasakan di Semenanjung Tanah Melayu.

Burhanuddin Al-Helmy menentang penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Ini menyebabkan dia ditahan di bawah ISA pada bulan Januari 1965 kerana dituduh terlibat dalam kerajaan buangan di Riau, Indonesia.

Burhanuddin bin Al-Helmy jatuh uzur semasa dalam tahanan. Pada bulan Mac 1966, beliau dibebaskan bersyarat dan dikenakan sekatan kawasan. Di antara syaratnya adalah beliau tidak dibenarkan melibatkan diri dalam politik. Syarat tersebut ditarik balik hanya pada 22 September 1969.


Tokoh Perjuang Kemerdekaan

Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah antara tokoh ulung perjuangan kemerdekaan. Beliau bergiat cergas dalam KMM dengan tujuan menentang penjajahan British.

Semasa pendudukan Jepun, Burhanuddin Al-Helmy dan beberapa orang rakannya mengambil strategi licik. Ini diungkapnya sebagai:

”Maka ahli-ahli kebangsaan Melayu kiri telah mengambil langkah Musa dalam istana Firaun. Ada yang tinggal di dalam, ada yang tinggal di luar mengambil bahagian di hutan di ruimba jadi anti-fascist ada yang menjalankan gerakan rayap – semut api – harimau dan sebagainya”

Dengan sokongan pihak Jepun, beliau bersama-sama Ibrahim Yaacob memimpin KRIS membuat persetujuan dengan Seokarno dan Mohd Hatta di Taiping untuk mengisytiharkan kemerdekaan serentak di Tanah Melayu dan Indonesia pada 17 Ogos 1945. Tetapi Jepun menyerah kalah pada 14 Ogos 1945.

Seokarno meneruskan rancangannya mengisytiharkan Indonesia merdeka dari Belanda pada 17 Ogos 1945.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak dapat berbuat demikian memandangkan perkembangan yang amat berbeza di Tanah Melayu ketika itu.

Selepas Jepun berundur, PKMM ditubuhkan sebagai satu kesinambungan daripada KMM. Dr. Burhanuddin Al-Helmy menjadi Ketua Umum PKMM yang pertama.

Semasa diadakan kongres PKMM ke-2 di Melaka pada Disember 1946, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah disambut hebat oleh pelbagai lapisan kaum di sana. Dalam ucapan tersebutlah Burhanuddin Al-Helmy melafazkan pantun pusakanya yang terkenal:

Di atas robohan Kota Melaka;
Kita Dirikan Jiwa Merdeka;
Bersatu padulah segenap baka;
Membela hak keadilan pusaka.

Pembabitan Burhanuddin Al-Helmy dalam PUTERA, PEPERMAS, MATA dan Hizbul Muslimin sepanjang tahun 1947-1948 adalah juga dengan tumpuan menyemarakkan perjuang mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.

Di antara kemuncak perjuangannya menuntut kemerdekaan adalah apabila Burhanuddin Al-Helmy sebagai pengerusinya telah menerajui Sepuluh Dasar PUTERA-AMCJA beserta bendera merah putih duabelas bintang kuning sebagai melambangkan Malaya Merdeka.

Pembabitannya melancarkan Parti Rakyat Malaya sebaik sahaja Ahmad Boestamam dibebaskan dari penjara pada tahun 1955 juga adalah dalam konteks menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Pada masa itu politik kiri adalah bermaksud anti-British. Mereka yang mengambil sikap no-cooperation terhadap penjajah British di anggap sebagai ”kiri”. Sedangkan mereka yang bersikap cooperation seperti UMNO, dianggap ”kanan”.
Menyertai dan Memimpin PAS

Ketika PAS ditubuhkan pada bulan Ogos 1951, Dr. Burhanuddin Al-Helmy masih dalam tahanan penjara di Singapura.

Apabila Yang Dipertua Agung Pas yang pertama, Ustaz Ahmad Fuad melepaskan jawatannya pada tahun 1953 tugas memimpin PAS diambilalih oleh Dr. Hj Abbas Alias.

PAS di bawah kepimpinan Dr. Abbas tidak begitu lama, iaitu hanya selama 3 tahun 2 bulan sahaja. Ini adalah disebabkan Dr. Abbas tidak dapat bergerak aktif kerana masih terikat dengan jawatannya di dalam perkhidmatan kerajaan, iaitu sebagai seorang pegawai perubatan.

Angkatan muda dalam PAS pada masa itu yang antaranya terdiri daripada Ustaz Othman Abdullah, Ustaz Hasan Adli, Ustaz Abdul Wahab Noor dan Mohd Asri Muda telah mengadakan mesyuarat tidak rasmi berhubung dengan jawatan utama PAS.
Mereka bersepakat bahawa tidak ada orang yang lebih tepat memimpin PAS pada masa itu selain daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy.

Ketika itu, Dr. Burhanuddin Al-Helmy hanya bergiat cergas mempromosi Parti Rakyat Malaya di seluruh Tanah Melayu. Ini bermakna, Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak ada sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik.

Pada bulan Disember 1956 satu perwakilan yang terdiri daripada Ustaz Abdul Wahab Noor dan Ustaz Baharuddin Latiff telah diutus bertemu Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Beliau bersetuju untuk menyertai PAS.

Terdapat juga catatan yang menyatakan bahawa tugas ini dilaksanakan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Hj Said Abdul Hadi yang diamanahkan oleh Ustaz Hasan Adli untuk mendapatkan persetujaun bertulis daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan meminta beliau mengisi borang PAS.

Walau bagaimanapun, sebelum itu pun memang sudah terdapat persetujuan tidak rasmi di kalangan mereka bertiga agar Ahmad Boestamam menerajui Parti Rakyat Malaya, Ishaj Haji Muhammad (Pak Sako) menerajui Parti Buruh dan Burhanuddin bin Al-Helmy menerajui PAS. Jadi pelawaan daripada pemimpin-pemimpin PAS kepada Burhanuddin Al-Helmy adalah tepat pada masanya.


Demokrasi dalam PAS

Setahun sebelum Dr. Burhanuddin Al-Helmy menyertai PAS, beberapa orang pemuda juga telah pergi ke Kuala Kangsar untuk bertemu dengan Prof Zulkifli Muhammad. Tujuan mereka adalah untuk mempelawanya menyertai PAS.

Prof Zulkifli Muhammad menjadi calon PAS dalam pilihanraya 1955.

Dalam Muktamar PAS ke-5 pada 25 Disember 1956, terdapat dua pencalonan bagi jawatan Yang Dipertu Agung, iaitu Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Prof. Zulkifli Muhammad.

Daripada kawasan-kawasan Prof Zulkifli Muhammad mendapat pencalonan yang lebih banyak daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy.

Keadaan ini adalah disebabkan terdapat ahli-ahli PAS pada masa itu yang bimbang dengan latarbelakang politik Dr. Burhanuddin Al-Helmy sebelum menyertai PAS.

Sebahagian ahli PAS lebih selesa jika PAS dipimpin oleh Prof Zulkifli Muhammad memandangkan beliau seorang tokoh muda yang sangat karismatik dan pernah belajar agama di Mesir.

Dalam pemilihan jawatan tertinggi PAS dalam Muktamar ke-5 itu, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah berjaya menewaskan pencabarnya, iaitu Prof Zulkifli Muhammad.

Pertandingan bagi jawatan tertinggi parti di antara kedua tokoh besar ini menunjukkan kematangan ahli-ahli serta amalan dan suasana demokrasi dalam PAS sejak awal-awal penubuhannya.

Muktamar seterusnya memilih Prof Zulkifli Muhammad menjadi Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Gabungan mereka berdua inilah yang terus memantapkan PAS. Selepas diberikan amanah memimpin PAS, Dr. Burhanuddin Al-Helmy menunjukkan betapa gigihnya beliau melaksanakan tugas tersebut.

Pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy dalam PAS adalah yang paling lama jika dibandingkan dengan tempoh beliau berada dalam mana-mana parti terdahulu yang disertanya. Malah hayatnya ditutup dalam PAS. Bahkan pada zamannya juga PAS berkembang dengan luasnya.

Tugas memimpin PAS dilaksanakan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy walaupun sebahagian dari tempoh ini dilaluinya semasa menjalani penahanan dan sekatan tanpa bicara di bawah ISA.


Seorang Demokrat Berperlembagaan

Selaras dengan dasar PAS mengambil bahagian dalam pilihanraya untuk mendapatkan suara rakyat bagi mengukuhkan perjuangan Islam, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah menjadi calon PAS dalam pilihanraya 1959. Beliau menang dan menjadi wakil rakyat Pas bagi kerusi Parlimen Besut, Terengganu.

Pada masa itu sistem pilihanraya Dewan Undangan Negeri dijalankan mengikut negeri ke negeri. Negeri paling akhir selepas Terengganu adalah Kelantan.

Dengan sistem seperti ini, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan pimpinan PAS telah menyusun tenaga kerja jentera PAS dipindahkan dari satu negeri ke satu negeri.

Di Dewan Undangan Negeri Terengganu, PAS menang 13 daripada 24 kerusi dan berjaya membentuk kerajaan negeri di Terengganu.

Manakala di peringkat Parlimen pula, calon-calon PAS menang empat kerusi, iaitu Ustaz Hasan Adli di Kuala Terengganu Utara, Khadijah Sidek di Dungun, Harun Pilus di Terengganu Tengah dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy di Besut.

Dengan kemenangan ini, PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy menggunakan kempen ”Kalau di Terengganu PAS boleh menang, kenapa Kelantan tidak?”

Ternyata taktik ini berkesan sekali sehingga PAS memenangi 28 daripada 30 kerusi Dewan Undangan Negeri dan berjaya membentuk kerajaan di Kelantan.

PAS juga memenangi sembilan daripada sepuluh kerusi Parlimen di Kelantan.

Dalam konteks yang lebih luas, Dr. Burhanuddin Al-Helmy juga telah mempertahankan amalan demokrasi di atas dasar Perlembagaan yang sedia ada. Di atas sebab itu beliau menentang penubuhan Malaysia. Baginya, penubuhan Malaysia adalah bertentangan dengan konsep Persekutuan yang memberi ruang yang luas bagi pembangunan setiap negeri di bawahnya.

Menurutnya, dengan wujudnya Malaysia, maka ”mahu tidak mahu Kelantan menjadi satu bahagian di bawah kekuasaan Malaysia”. Dr. Burhanuddin Al-Helmy mahu kerajaan Pusat bersikap lebih demokratik dengan merundingkan penubuhan Malaysia dengan kerajaan negeri terlebih dahulu.

Di bawah pimpinannya, kerajaan PAS Kelantan telah mengheret isu Malaysia ke mahkamah bagi mendapatkan injuksi penanguhan pembentukan Malaysia.

Ternyata pendekatan dan ketokohan Dr. Burhanuddin Al-Helmy serta pemimpin-pemimpin PAS yang lain pada masa itu amat diterima rakyat, khasnya di kalangan kaum Melayu.
Kejayaan PAS dalam pilihanraya 1959 juga membuktikan PAS adalah sebuah parti politik dan gerakan Islam yang bersedia memanfaatkan saluran sistem demokrasi yang bersesuaian dengan Islam bagi tujuan memajukan Islam, rakyat dan negara.

Di atas kejayaan ini, kerajaan Perikatan menggunakan taktik kotor untuk menghalang kemaraan PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Satu langkah licik telah digunakan untuk menghalang Dr. Burhanuddin Al-Helmy daripada mempertahankan kerusi Parlimen Besut.

Dalam pilihanraya 1964, Suruhanjaya Pilihanraya telah mengisytiharkan Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak layak bertanding kerana telah didenda sebanyak $25,360 oleh sebuah mahkamah atas satu kesalahan teknikal dalam sebuah syarikat perniagaan.
Sumbangan kepada Gerakan Islam

Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah seorang pemimpin politik Islam yang mendahului zamannya.

Beliau adalah seorang yang progresif, realistik, berpandangan global serta sentiasa bertindak berpandukan prinsip-prinsip Islam.

Beliau progresif kerana beliau menolak sebarang bentuk dan unsur kolonialisme. Motivasi utama dalam perjuangan politiknya dalah untuk memerdekan rakyat Tanah Melayu – bahkan seluruh bumi Asia – daripada penjajahan, sama ada penjajahan dari Barat mahupun dari Timur.

Beliau realistik kerana belaiu sentiasa bersikap terbuka dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak – parti politik bukan Melayu atau bukan berasaskan Islam – yang memiliki cita-cita dan tujuan yang sama, iaitu untuk sama-sama mencapai matlamat perjuangan membebaskan rakyat daripada penjajahan.

Dari satu sudut Dr. Burhanuddin Al-Helmi adalah seorang ahli politik yang bersikap praktikal dan realistik kalaupun tidak pragmatik.

Pendekatannya terbuka. Pengalaman silamnya sebelum menerajui PAS yang sentiasa bersedia bekerjasama untuk mengejar cita-cita bersama - iaitu kemerdekaan – telah berjaya menempatkan PAS dalam kancah arus perdana politik negara pada masa itu.

PAS dilihat ada kelainan tetapi tokoh PAS ini tidak lain dan asing bagi mereka yang sama-sama mahu mengejar cita-cita kemerdekaan.

Pakatan politik yang diwujudkan olehnya dengan parti-parti bukan Melayu dan bukan berasaskan Islam telah melonjakkan PAS sebagai sebuah parti yang berjuang di atas satu ideologi yang jauh lebih jelas daripada UMNO.

Kelainan inilah yang sebut oleh pimpinan PAS hari ini sebagai aqidah perjuangan. Dalam bahasa Dr. Burhanuddin Al-Helmy ia disebut sebagai ideologi perjuangan.

Ini kerana pada masa pemimpin-pemimpin UMNO terperangakap dengan persoalan politik perkauman dan perjuangan kebangsaan yang sempit, PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy berjaya meyakinkan rakyat bahawa akar umbi masalah rakyat Tanah Melayu adalah warisan penjajahan yang berupa penindasan ekonomi dan politik serta sistem kapitalis global yang menindas dan memperhambakan pribumi tanah jajahan.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy juga mendedahkan kepincangan masyarakat apabila sejumlah elit politik pribumi bersekongkol melindungi dan mempertahankan penindasan sistem penjajah ini.


Karya dan Penulisan

Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah menghasilkan buku yang bercorak politik antaranya:
• Perjuangan Kita, 1946
• Falsafah Kebangsaan Melayu, 1947
• Agama dan Politik, 1954,
• Ideologi Politik Islam, 1957


Namanya Diabadikan

Dr. Burhanuddin Al-Helmy meninggal dunia pada 25 Oktober 1969 berpunca daripada serangan lelah. Sebenarnya Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah jatuh sakit semasa dalam tahanan ISA. Ketika beliau dibebaskan dengan sekatan kawasan pada tahun 1966, penyakitnya masih belum sembuh.

Namanya diabadikan di sebuah sekolah di Taiping dan nama jalan di Taman Tun Dr. Ismail, Damansara, Selangor.

Beliau dianugerah pingat emas Commander of World Order of Human Merit daripada I’Ordre Universal du Merit Human, Geneva pada 15 November 1959 di atas sumbangannya dalam pembangunan perubatan homeopati.




AHMAD BOESTAMAM



Ahmad Boestamam (30 November 1920 - 19 Januari 1983; nama asal: Abdullah Thani bin Raja Kechil) adalah seorang aktivis politik anti penjajah Inggeris. Beliau menggunakan nama Ahmad Boestamam mulanya sebagai nama pena ketika menubuhkan akhbar Suara Rakyat pada tahun 1945 di Ipoh, Perak. Nama ini lekat sebagai nama yang popular. Beliau juga pernah menggunakan nama pena Ruhi Hayat dan Jiwalara. Beliau berbakat besar dalam penulisan dan seorang pemidato yang handal. Selain daripada bergiat dalam politik, beliau juga berjaya menghasilkan tidak kurang daripada 15 buah novel. Antara bukunya ialah Sorotan Sekilas (1981), Lambaian Dari Puncak (1983), Merintis Jalan Ke Puncak (1971), Tujuh Tahun Malam Memanjang (1976), Rumah Kaca Di Gegar Gempa (1969), dan Api Dan Air Mata (1967).Beliau di anugerahkan Panglima Negara Bintang Sarawak pada tahun 1976 membawa gelaran Datuk.


Masa Kecil

Dilahirkan kepada Raja Kechil, seorang petani, dan Rasiah, Ahmad Boestamam dibesarkan di Kampung Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak. Beliau mempunyai dua orang kakak, iaitu Rasunin dan Ramlah. Pada usia enam tahun, Beliau memasuki Sekolah Melayu Behrang Ulu, sebuah sekolah Melayu and kemudiannya, pada tahun 1933, beliau memasuki Anderson School, Ipoh. Ahmad tamat Darjah Lima dan lulus dengan Gred 1 dalam peperiksaan Kelas Melayu Khas ("Special Malay Class", SMC).


Kerjaya

Seperti kebanyakan para aktivis politik yang sezaman dengannya, Ahmad adalah seorang wartawan akhbar yang sangat prolifik. Beliau bermula dengan akhbar Saudara di Pulau Pinang, kemudian Warta Kinta di Ipoh, Majlis di Kuala Lumpur, Utusan Melayu di Singapura dan Warta Malaya juga di Singapura. Pekerjaannya itu juga menjadikan beliau bertembung dan bergaul dengan tokoh-tokoh wartawan Melayu lain seperti Abdul Rahim Kajai, Ibrahim Haji Yaacob dan Ishak Hj. Muhammad.

Kegiatan Boestamam dalam bidang kewartawanan ini telah menyebabkan beliau terlibat dalam arus kerancakan nasionalisme Melayu yang sedang memuncak pada tahun 1930-an. Beliau telah turut sama memberi pendapat dan cadangannya bagi memperbaiki kelemahan ekonomi, sosial dan politik orang Melayu daripada tekanan kerajaan British dan saingan kaum pendatang. Walaupun tulisannya tidak setajam rakan-rakannya yang lain, tetapi beliau telah melahirkan pendapatnya dalam nada dan pendapat yang sama dengan mereka. Persamaan harapannya untuk memajukan orang Melayu sudah cukup untuk membolehkan beliau terlibat secara langsung dalam kegiatan nasionalisme orang Melayu.


Kesatuan Melayu Muda

Kepentingan Boestamam dalam kegiatan politik bermula dengan penglibatannya dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebagai Penolong Setiausaha semasa menjadi pemberita khas akhbar Majlis di Kuala Lumpur yang dipimpin oleh Ibrahim Haji Yaacob. Walaupun beliau hanya menjadi orang yang keempat penting dalam organisasi yang menjadi ejen Jepun, tetapi ini tidak dipandang ringan oleh kerajaan British. Ahmad dianggap sebagai seorang aktivis politik antipenjajahan yang berbakat besar.

Penangkapan Boestamam pada tahun 1941 bersama-sama dengan 150 orang anggota dan penyokong KMM memulakan kehidupan getir Boestamam sebagai seorang aktivis politik. Beliau telah menjadi lebih terdedah kepada tekanan penjajah, yang secara langsung memberi satu pemantapan kepada sikap antipenjajahannya. Ini menjadi satu mungkin kepada semangatnya untuk terus bergiat dalam politik.


Gerakan Kiri Tanah Air

Ahmad seorang perancang politik yang bijak. Beliau telah menubuhkan Gerakan Kiri Tanah Air (KITA) yang bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya dan British yang sedang berusaha memerangi tentera Jepun. Walaupun penubuhan ini dipaksakan kepadanya oleh MPAJA, tentera Parti Komunis Malaya, tetapi ia juga menjadi satu bukti kepada kerjasama Ahmad dengan kumpulan anti-Jepun. Ini boleh digunakan sebagai bukti untuk menafikan kerjasama sepenuhnya dengan Jepun.


Parti Kebangsaan Melayu Malaya

Boestamam kemudian menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). PKM yang mahu menguasai Tanah Melayu dengan cara perlembagaan telah membentuk satu "Barisan Bersatu Malaya" untuk mempengaruhi parti-parti politik Melayu dan kesatuan sekerja India. Penyerapan unsur PKM ke dalam masyarakat ini dipercayai dapat memperkenalkan mereka dengan gagasan sosialisme dan seterusnya komunisme. Dengan itu, cita-cita untuk membentuk sebuah republik komunis di Tanah Melayu akan menjadi lebih mudah.

Dengan itu, Ahmad telah bekerjasama secara sedar dengan pihak PKM yang juga bersifat penjajahan ke atas Tanah Melayu. Ini kerana PKM adalah anak Parti Komunis China yang bekerjasama dengan Comintern, iaitu pertubuhan komunis antarabangsa yang berada di bawah pengaruh Russia.

Ahmad membenarkan PKM mempengaruhi PKMM. Ini bukan sahaja kerana pentadbiran Tanah Melayu berada di bawah penguasaan PKM, tetapi juga kerana bantuan kewangan dan pengurusan surat khabarnya, Suara Rakyat dan Voice of the People dipegang oleh PKM. Teraju utama, iaitu Presiden PKMM juga dikuasai oleh PKM, melalui Mokhtaruddin Lasso, seorang pelarian politik Parti Komunis Indonesia (PKI) yang menjadi ketua orang Melayu Regimen ke-10 MPAJA.

Akhirnya, PKM menentukan dasar politik PKMM. Dasar politik untuk melindungi dan berjuang bagi mewujudkan perasaan kebangsaan, memajukan ekonomi, pelajaran dan keadilan bagi masyarakat Melayu telah diubah oleh PKM. PKM juga telah meletakkan satu dasar yang penting yang melambangkan pembentukan sebuah bangsa "Malayan", sesuai dengan dasarnya mewujudkan Barisan Bersatu Malayan pada masa depan. Dengan itu, dasar PKMM tidak lagi bersifat Melayu seratus peratus. Ia telah disesuaikan dengan cita-cita PKM.

Ahmad menyedari hal tersebut, maka untuk mengimbangi pengaruh politik PKM, dalam persidangan yang diadakan pada 30 November 1945, dasar membentuk Melayu Raya atau Indonesia Raya, telah dimasukkan sebagai salah satu matlamat perjuangan PKMM. Malah dasar ini memang sengaja ditonjolkan begitu hebat oleh Ahmad dan kumpulannya demi untuk mengelakkan pandangan orang ramai terhadap penguasaan PKM dalam PKMM. Ini juga telah membolehkan runan Indonesia yang menetap di Tanah Melayu.

Ahmad disokong oleh PKM. PKM telah membangkitkan pula soal tidak demokratik UMNO kerana memberi dua sahaja undi kepada PKMM, seperti persatuan negeri-negeri Melayu yang lain, yang dikatakannya lebih kecil daripada PKMM. PKM juga menuduh UMNO sebuah parti yang konservatif dan tidak menggunakannya sebagai biasiswa kepada anak-anak Melayu, dianggapnya remeh.

Kerajaan British telah meyokong UMNO. Bagi kerajaan British, UMNO adalah sebuah parti politik yang lebih sederhana, tidak dipengaruhi sebarang unsur luar yang mengancam kedudukan politik dan ekonominya serta tidak mempunyai sejarah penentangan terhadap pihak British, seperti PKMM yang dipimpin oleh beberapa orang bekas anggota KMM. UMNO juga direstui oleh raja-raja Melayu yang merupakan lambang ketuanan orang Melayu. Sokongan raja-raja Melayu kepada UMNO sangat penting diakui kerana raja-raja Melayu merupakan ketua kerajaan negeri yang membuat perjanjian dengan kerajaan British. Kebijaksanaan UMNO menarik raja-raja Melayu memihak kepada mereka telah memerangkap kerajaan British untuk mengakui kepentingan UMNO.

Sekali lagi Ahmad Boestamam dan PKMM telah dipengaruhi oleh PKM untuk menubuhkan PUTERA, sebagai satu badan radikal Melayu yang besar bagi bergabung dengan AMCJA, sebuah gabungan parti politik bukan Melayu yang juga dipengaruhi oleh PKM. Kedua-dua organisasi kemudian menjadi penentang yang penting kerana telah mengeluarkan Perlembagaan Rakyat sebagai satu perlembagaan pilihan kepada orang ramai, selain Perjanjian Persekutuan 1948 yang disediakan oleh UMNO raja-raja Melayu dan kerajaan British.

Dengan mempunyai satu dasar yang tidak bertumpu kepada kepentingan orang Melayu sepenuhnya, bererti Ahmad Boestamam dan PKMM telah bertentang arus dengan nasionalisme Melayu pada tahun 1946. Ini kerana penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union adalah kemuncak gerakan nasionalisme mereka selama ini. Gerakan nasionalisme Melayu yang bermula begitu lambat dan tidak begitu mencabar kerajaan British telah menjadi cukup tegang dengan pengenalan Malayan Union. Ini kerana gerakan anti-Malayan Union itu telah membangkitkan kesedaran politik yang cukup jelas sehingga melibatkan kaum wanita yang selama ini tertutup dengan peranan tradisional mereka. Pengenalan Malayan Union telah menyatupadukan orang Melayu, bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga raja-raja Melayu dan para pembesar tradisional yang selama ini terpisah dengan rakyat jelata. Penentangan itu merupakan satu gerakan yang telah mencabar kerajaan British sehingga terpaksa tunduk kepada kehendak mereka.

Pada Februari 1946, ketika semangat menuntut kemerdekaan sedang meluap-luap, Ahmad bersama dengan Dr Burhanuddin Al Helmi juga menubuhkan Angkatan Pemuda Insaf (API), sebuah pergerakan kiri yang radikal di Malaya dan memimpinnya sehingga pertubuhan itu diharamkan oleh pihak British.

Penangkapan Ahmad pada bulan Julai tahun 1948 membekukan kegiatan politik Ahmad untuk satu tempoh yang panjang, iaitu selama tujuh tahun. Beliau terpaksa ditahan begitu lama kerana berbahaya kepada keselamatan politik British di Tanah Melayu dan kawasan sekitarnya, iaitu Nusantara. Pengisytiharan undang-undang darurat juga digunakan untuk kerajaan British mengawal anasir PKM dan sekutunya, termasuk PKMM dan anak buahnya. Ahmad dianggap sebagai sebahagian daripada tenaga penggerak yang berbahaya. Beliau ditahan oleh British dua kali. Kali pertama sejurus sebelum kedatangan Jepun pada tahun 1941 selama tiga bulan.


Parti Rakyat Malaya

Parti Rakyat Malaya telah menjadi parti politiknya yang pertama sebaik-baik sahaja beliau dibebaskan pada tahun 1955. Beliau telah menjadi pemimpin pembangkang Melayu dengan menggunakan ideologi sosialisme-marhaenisme ciptaan Sukarno. Dengan bekerjasama dengan Parti Buruh Malaya, beliau berjaya membentuk Socialist Front (SF) yang akhirnya menjadi salah satu parti pembangkang yang terkenal selepas kemerdekaan Tanah Melayu.

Pilihan raya tahun 1959 telah memberi satu pengiktirafan kepada kegiatan politik Ahmad selama ini. Beliau telah memenangi kerusi parlimen Setapak di bawah tiket Socialist Front. Dengan itu, Ahmad telah menjadi salah seorang anggota pembangkang yang disegani, bersama-sama dengan tokoh-tokoh nasionalis dan politik Melayu yang lain seperti Dato' Onn Jaafar, Dr. Burhanuddin, Khadijah Sidek, Zulkifli Mohammad dan Othman Abdullah. Tokoh-tokoh pembangkang bukan Melayu yang handal seperti Dr. Seenivasagam, Tan Chee Koon dan Lim Kean Siew telah berganding bahu dengan Ahmad dan rakan-rakan yang lain. Kehadiran Ahmad Boestamam dan kawan-kawannya itu menjadikan kerajaan perikatan terpaksa bekerja keras untuk menentang mereka di Dewan Rakyat. Kehadiran mereka memang sangat menarik dalam sejarah politik berparlimen di Malaysia.

Ahmad ditangkap pada tahun 1963, buat kali ketiga dalam sejarah hidup politiknya. Pada kali ini Ahmad ditangkap oleh kerajaan yang dipilih oleh rakyat sendiri selama empat tahun. Alasan kerajaan Perikatan ialah kerana Ahmad terlibat dalam usaha Indonesia menentang gagasan Malaysia yang sedang diusahakan oleh Tunku Abdul Rahman, ketua kerajaan Perikatan dan Perdana Menteri Malaysia. Ahmad dituduh bekerjasama dengan Parti Komunis Indonesia (PKI) dan terlibat dalam pemberontakan Brunei pada tahun 1962. Tuduhan ini sangat menarik kerana ia menimbulkan dua gambaran yang sangat penting. Pertama, ternyata Ahmad seorang penyokong Indonesia yang sangat setia dan tetap. Kedua, penonjolan satu penglibatan politik Ahmad yang menyeluruh Kepulauan Melayu atau Nusantara. Ini bermakna bahawa Ahmad mahu menjadi juara Melayu Raya.


Kembali Kepada Kerjaya Wartawan

Penglibatan Ahmad dalam politik Malaysia menjadi hambar selepas itu. Beliau tidak lagi berkesan walaupun cuba bangun memimpin parti politik yang baru dan bekerjasama dengan tokoh-tokoh bukan Melayu. Beliau terpaksa membawa diri ke Sarawak dengan menjadi pembantu Datuk Patinggi Abdul Rahman Yaakub dan penulis akhbarnya. Oleh sebab itu, Ahmad dianugerahi gelaran "Datuk" oleh Gabenor Sarawak. Walaupun gelaran itu satu pengiktirafan kepada peranannya selama ini dalam kegiatan politik Malaysia sebelum perang dan selepas merdeka. Ia sebenarnya satu ironi kepada ideologinya yang radikal selama ini. Akhirnya, Ahmad mengakui sistem tradisional Melayu yang masih bersifat feudalisme.

Ahmad mengakhiri sisa-sisa hidupnya dengan menjadi penulis bebas di akhbar-akhbar sebagai perintang waktu dan sedikit pendapatan untuk menyara kehidupannya. Dua tahun selepas menunaikan fardu haji, beliau meninggal dunia pada tahun 1983 kerana penyakit barah paru-paru. Dengan itu, maka tamatlah perjalanan hidup seorang tokoh politik yang sangat dinamik dan menarik yang telah memberi warna-warna garang dan terang serta corak yang berliku-liku dalam kehidupannya dan politik Malaysia khasnya. Kepentingan beliau dalam sejarah politik Malaysia tidak akan dilupakan.


Jawatan Disandang

Antara jawatan yang pernah disandang oleh Ahmad Boestamam ialah :

  • Penulis pojok akhbar "Saudara";
  • Anggota Persatuan Melayu Perak (PMP) pada tahun 1937;
  • Penolong Setiausaha Kesatuan Melayu Muda (KMM);
  • Pengasas Gerakan Kiri Tanah Air (KITA);
  • Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API);
  • Pengasas Parti Kebangsaan Melayu Melaya (PKMM);
  • Ketua pengarang akhbar harian, "Suara Rakyat";
  • Ketua Pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM);
  • Pemimpin Parti Rakyat Malaya (PRM) pada tahun 1955;
  • Setiausaha Kehormat Kongres pada tahun 1957;
  • Ahli Dewan Rakyat pada tahun 1959-1963.


    Hasil Penulisan

    1.Kabus pagi. Singapura: Geliga, 1958.
    2.Pacar merah Malaya. Singapura: Halmy, 1948.
    3.Gelap menjelang terang. Singapura: Geliga, 1956.
    4.Merintis Jalan Ke Puncak, 1972


    Rustam A. Sani

    Rustam A. Sani dianggap antara ‘cendekiawan awam’ yang penting di Malaysia (lihat Jomo, 2001: 9)*. Beliau merupakan seorang ahli akademik, penulis kolum dan penyair – selain terlibat dalam pelbagai kegiatan politik, sosial dan sastera. Sebagai ahli akademik dan penganalisis, beliau pernah bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan ISIS Malaysia.

    Antologi puisinya – Riak-riak Kecil (1977) – diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1988/89 beliau telah dianugerahkan ‘Hadiah Sastera Negara’ dalam kategori esei dan kritik sastera. Dalam bidang politik, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Presiden, Parti Rakyat Malaysia.

    Rustam memperoleh ijazah pertamanya dari Universiti Malaya, dan kemudiannya melanjutkan pelajaran di University of Reading, University of Kent at Canterbury (UK) dan Yale University (AS). Beliau merupakan seorang penulis yang prolifik, baik dalam bahasa Malaysia maupun Inggeris – dan tulisannya meliputi pelbagai bidang seperti politik, isu-isu sosial, sejarah, budaya, statistik dan sastera. Selain itu, beliau juga telah menghasilkan terjemahan karya-karya sastera dan bukan sastera (dari Inggeris ke bahasa Malaysia dan sebaliknya).

    Antara buku-buku karya beliau adalah: Melayu Baru: Beberapa Persoalan Sosio-Budaya (1992); Politik dan Polemik Bahasa Melayu (1993); Melayu Baru dan Bangsa Malaysia: Tradisi Cendekia dan Krisis Budaya (1993); Menjelang Reformasi (2004); Ke Mana Nasionalisme Melayu? (2004); dan Bercanda dengan Mahathir (2006).

    MAKLUMAN PERIBADI

    NAMA PENUH
    Rustam Abdullah Sani

    TARIKH LAHIR
    11 Ogos 1944

    TEMPAT LAHIR
    Ipoh, Perak (Malaysia)

    Persekolahan

    1951-1963 - Sekolah Kebangsaan Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak

    1956-1963 - Methodist English School, Tanjung Malim, Perak

    1963-1964 - Sekolah Victoria, Kuala Lumpur


    UNIVERSITI

    1.Universiti Malaya, Kuala Lumpur (1967-1970): BA (Hons) Pengajian Melayu (1970).
    2.University of Reading, England (1972-1973): Postgraduate Diploma in Sociology (Dip.Soc) (1973).
    3.University of Kent at Canterbury, England (1973-1975): MA in Southeast Asian Studies (1975)
    4.Yale University, New Haven CT, USA (1978-1981): (1) MA in Sociology (1980), (2) M Phil in Political Sociology (1981).
    5.Uppsala University, Uppsala, Sweden (1991): Advanced International Program in Conflict Resolution (Diploma)

    BIDANG MINAT

    Teori Sosiologi; Teori Sains Politik; Sosiologi Politik; Statistik; Nasionalisme Melayu; Kajian Elit Politik dan Pemodenan; dan Sosiologi Sastera.

    PENGALAMAN KERJA

    1.Oxford University Press, Kuala Lumpur: Penolong Editor (1965-1967); Editor (1970-1971).
    2.Universiti Malaya, Kuala Lumpur: (1) Penolong Pendaftar (Akademik dan Rekod) merangkap Setiausaha, Unit Pusat Universiti-Universiti (UPU) (1971-1972); (2) Pensyarah (Pusat Bahasa)(1975-1976).
    3.Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi: (1) Pensyarah (Jabatan Antropologi dan Sosiologi) (1976-1988); [Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi) (1984-1986)]; (2) Pensyarah (Jabatan Sains Politik) (1988-1989); (3) Profesor Madya (Jabatan Sains Politik) (1989-1990).
    4.Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia: Fellow Kanan/ Ketua Editor/Pengarah Ekesekutif (Penerbitan) (1990-1995).
    5.Pascabaru (M) Sdn Bhd.: Pengerusi Eksekutif (1995-1997).
    6.Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya: Fellow Kanan (1997-1999).


    ANUGERAH DAN BIASISWA

    1.Oxford University Press Meritorious Service Award, 1966.
    2.Biasiswa Oxford University Press untuk mengikuti ijazah pertama di Universiti Malaya (1967-1970).
    3.Zamalah Fulbright-Hays untuk pengajian siswazah di Yale University, USA (1978-1981)
    4.Hadiah Sastera Malaysia (Bahagian Esei-Kritik), 1988-99.
    PIDATO UMUM
    1.Pidato Umum Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada Kassim Ahmad (Konvokesyen UKM Ke-13, Bangi, 17 Ogos, 1985).
    2.Anwar Ibrahim: Tokoh Pembaca. Pidato Umum Majlis Penganugerahan Gelar ‘Tokoh Pembaca’ kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Majlis Buku Kebangsaan

    PENERBITAN [Senarai Ringkas Pilihan]
    •The Origins of the Malay Left: An Analysis of the Social Roots (MA Thesis, University of Kent at Canterbury), 1975.
    •Education and Malay Political Elites in the Thirties. Jurnal Pendidikan (UKM), Bil. 5, April, 1977.
    •Malaya Pada Tahun-tahun Tiga Puluhan: Latarbelakang Sosial Bagi Permulaan Perkembangan Politik Malaysia. Jurnal Antropologi dan Sosiologi, Jld. 6, Hlm. 18-29. 1978.
    •Pembentukan Elit Politik Melayu (Kertas Kerja Untuk Persidangan Pelajar-pelajar Malaysia Amerika Utara), SUNY Binghampton, 18 Disember 1980.
    •Kesatuan Melayu Muda as the Organisational Origins of the Malay Left. Nusantara, Bil 9, June, 1982.
    •Kepimpinan dalam Perkembangan Politik Melayu Awal: Aspek Sosial. Dlm. DBP (ed.), Isu-isu Ekonomi, Sosial dan Politik Malaysia, Kuala Lumpur, 1983.
    •Robohan Nasionalisme Melayu: Asas Sosial Bagi Terbentuknya Ideologi Perpaduan Nasional. Ilmu Masyarakat, Bil. 4, Hlm. 9-15, 1983.
    •Melayu Raya as a Malay Nation of Intent. Dlm. Dahlan, H. M. (ed.), The Nascent Malaysian Society (Second Edition), Bangi, 1986.
    •Malay Identity in Islam (Book Review of Chandra Muzaffar, Islamic Resurgence in Malaysia), Far Eastern Economic Review, 23 April, 1987.
    •The Malay Ruling Elite in the Post-colonial State of Malaysia. Solidarity (The Phillipines), No. 144, September-October, 1987.
    •The Role of Translation in Creating a Modern Intellectual Tradition: Some Thoughts on the Malaysian Case. Tenggara, Bil. 21/22, 1988.
    •Tradisi Intelektual Melayu dan Pembentukan Bangsa Malaysia. Dlm. Ahmat Adam, et al (eds.) Intelektualisme Melayu: Satu Polemik, Bangi, 1990.
    •National Policies: Their Implications on the Preservation of Heritage. Dlm. Raja Fuziah Tun Uda (ed.), The Changing World: Our Heritage and Our Future (Second Edition), Kuala Lumpur, 1991.
    •Conflict Theory and Peace Research: Some Reflections. Dlm Goran Lindgrom, Kjell-Ake Norquist and Peter Wallenstein (eds.), Peace Process in the Third World, Uppsala University, Sweden, 1991.
    •The Social Sciences in Malaysia: A Critical Scenario. (With Norani Othman). Akademika, Bil. 38, Januari 1991.
    •Projek 2020: Melewati Dimensi Ekonomi. Negarawan, Bil. 21, 1991.
    •Politik dan Pembentukan Bangsa di Malaysia: Realiti dan Visi. Ilmu Masyarakat, Bil. 20, Julai-September, 1992.
    •Ke Arah Pembentukan Satu Bangsa Malaysia. Dlm. Hairany Naffis (ed.), Politik Malaysia Dekad 1990an, Bangi, 1992.
    •Badan-badan Bahasa dan Sastera Melayu: Satu Perspektif Sosiopolitik. Dlm. S. Othman Kelantan (ed.), Seratus Tahun Pergerakan Bahasa dan Sastera Melayu 1888-1988, Kuala Lumpur, 1992.
    •Melayu Baru: Beberapa Persoalan Sosio-Budaya, ISIS Malaysia, Kuala Lumpur, 1992.
    •Politik dan Polemik Bahasa Melayu, Kuala Lumpur, 1993.
    •Melayu Baru dan Bangsa Malaysia: Tradisi Cendekia dan Krisis Budaya, Kuala Lumpur, 1993.
    •Ke Arah Mewujudkan Suasana Politik Yang Merangsang Pencapaian Matalamat Wawasan 2020. Dlm. Kamaruddin Jaafar dan Hazami Habib (eds.), Wawasan 2020, Kuala Lumpur, 1993.
    •Phoenix-like, A New Kind of Malay Arises. ISEAS Trends (Singapore), March, 1993.
    •The Emergence of Melayu Baru. Business Times (Singapore), 30 June, 1993.
    •Perceiving ‘National Security’ (Australian-Asian Perceptions Project Working Paper Number 5, edited by Anthony Milner) (Ditulis bersama sekumpulan para sarjana dari ANU dan Universiti Tokyo), Academy of Social Sciences in Australia, April 1994.
    •Globalisasi, Krisis Ekonomi dan Politik 1998. Dlm. Norani Othman dan Sumit Mandal (eds.), Malaysia Menangani Globalisasi: Pesereta atau Mangsa?, Bangi, 2000.
    •Malaysia’s Economic and Political Crisis Since September 1998. Dlm. Jomo K. S. (ed.), Reinventing Malaysia: Reflections on its Past and Future, Bangi, 2001.
    •Menjelang Reformasi, Kuala Lumpur, 2004.
    •Ke Mana Nasionalisme Melayu?, Kuala Lumpur, 2004.
    •Bercanda dengan Mahathir, Kuala Lumpur, 2006.

    PENULISAN KOLUM TETAP

    Pernah menjadi penulis kolum tetap untuk akhbar dan majalah berikut: Dewan Masyarakat, Utusan Malaysia, New Straits Times, The Edge, Detik, Harakah, Suara PRM, Siasah, Suara Keadilan, Nanyang Siang Pau (Cina), Oriental Daily (Cina).


  •  
    © Copyright by Sekolah Kebangsaan Behrang  |  Template by Blogspot tutorial

    BlogMalaysia.com